Rabu, 15 Mei 2013













Majlis Angkat Sumpah Exco Pahang Hari Ini (16.5.2013)


Majlis Angkat Sumpah Exco Pahang Hari Ini

KUANTAN, 15 Mei (Bernama) -- Sekurang-kurangnya lima exco baharu kerajaan negeri Pahang bakal dilantik pada majlis angkat sumpah yang dijadual berlangsung di Istana Sultan Abu Bakar, Pekan, esok.

Setiausaha Kerajaan Negeri Pahang Datuk Seri Muhammad Safian Ismail berkata majlis angkat sumpah exco itu diadakan pada pukul 10.30 pagi di Istana Abu Bakar, Pekan di hadapan Sultan Pahang Sultan Ahmad Shah.

Angkat sumpah anggota majlis mesyuarat kerajaan negeri itu diadakan genap seminggu selepas Datuk Seri Adnan Yaakob, mengangkat sumpah sebagai Menteri Besar Pahang untuk penggal ke-4 pada Khamis lepas.

"Menteri Besar Pahang akan menerima senarai nama ahli exco yang diperkenankan oleh Sultan Pahang untuk diumumkan bagi meneruskan istiadat lantikan berkenaan," katanya kepada Bernama di sini hari ini.

Safian berkata berdasarkan kebiasaan, seramai 10 orang akan dilantik exco negeri.

Dua exco sebelum ini iaitu Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Usahawan dan Koperasi Pahang Datuk Ishak Muhamad dan Pengerusi Jawatankuasa Dakwah Islamiah, Perpaduan dan Badan-Badan Bukan Kerajaan, Datuk Mohamad Sahfri Ab Aziz, tidak bertanding bagi mempertahan kerusi dewan undangan negeri (DUN) Bebar dan Bukit Ibam pada pilihan raya umum (PRU13) 5 Mei lepas.

Dua lagi exco iaitu Pengerusi Jawatankuasa Beli Belia, Sukan dan Kebudayaan Datuk Wan Adnan Wan Mamat dan Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Alam Sekitar dan Kesihatan Datuk Hoh Khai Mun, yang bertanding kerusi parlimen Indera Mahkota dan parlimen Raub, tewas pada PRU13.

Kekosongan satu jawatan exco berlaku berikutan kematian anggota DUN Chenor Datuk Tan Mohd Aminuddin Ishak yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani dan Hal Ehwal Felda Pahang pada 19 Jun 2012.

Lima lagi exco yang bertanding kekal mempertahan DUN masing-masing.

Mereka ialah Datuk Ir Mohd Soffi Tan Sri Abd Razak yang sebelum ini Pengerusi Jawatankuasa Perumahan, Kemudahan Asas dan Pengangkutan Pahang (anggota DUN Benta), anggota DUN LanchangDatuk Mohd Sharkar Shamsudin (Pengerusi Jawatankuasa Penerangan, Sains, Teknologi dan Inovasi), dan anggota DUN Jelai Datuk Wan Rosdy Wan Ismail (Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Luar Bandar dan Hal Ehwal Orang Asli).

Dua lagi ialah anggota DUN Cheka Datuk Fong Koong Fuee (Pengerusi Jawatankuasa Sumber Manusia dan Hal Ehwal Pengguna Negeri) dan anggota DUN Inderapura Datuk Shafik Fauzan Sharif (Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kesenian dan Warisan, Pembangunan Keluarga dan Hal Ehwal Wanita).

Menurut pemerhati politik, beberapa nama turut disebut bakal menganggotai majlis kerajaan negeri, antaranya anggota DUN Tahan Datuk Wan Amizan Wan Abdul Razak, anggota DUN Peramu Jaya Datuk Sh Mohmed Puzi Sh Ali dan anggota DUN Kuala Sentul Datuk Shahaniza Shamsuddin.

Tiga bekas exco tahun 2004 juga dijangka dilantik kembali iaitu anggota DUN Pulau Tawar Datuk Dr Ahmad Shukri Ismail, anggota DUN Dong Datuk Shahiruddin Ab Moin dan anggota DUN Muadzam Shah Datuk Maznah Mazlan .

Maznah sebelum ini ialah timbalan menteri sumber manusia selepas dilantik senator selama dua penggal.